Kelantan Di Ancam Wabak E-Coli | HIPOTESIS CREW

Search This Blog

Monday 21 November 2011

Kelantan Di Ancam Wabak E-Coli

BACHOK: Sebahagian besar daripada lebih 1.6 juta rakyat Kelantan berisiko terdedah kepada penyakit berbahaya yang boleh membawa maut seperti E-coli sekiranya kerajaan negeri gagal menangani isu bekalan air bersih.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata kerajaan negeri perlu bertindak segera mengatasi isu itu selepas ujian Kementerian Kesihatan mendapati air di negeri itu disahkan tercemar bakteria E-coli.
Katanya, kerajaan negeri jangan hanya pandai berceramah saja, malah perlu lebih bertanggungjawab dalam menyediakan kemudahan asas terbaik terutama memastikan tahap kesihatan rakyat sentiasa terjamin melalui penyediaan air bersih.

“Laporan mengenai air di negeri ini tidak bersih adalah mengejutkan dan ia harus dipandang serius kerajaan negeri terutama pengurusan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) kerana ia membabitkan kesihatan rakyat Kelantan.

“Rakyat Kelantan harus menyuarakan keinginan mereka untuk mendapatkan air bersih dan kegagalan menyediakan air bersih menunjukkan negeri ini begitu daif berbanding Afrika Selatan, yang sudah tiada masalah E-coli ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Prihatin 1Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Ara, di sini, semalam.

Beliau mengulas Laporan Bilangan dan Peratusan E-coli dan Logam Berat Bagi Air Terawat dan Air Mentah Mengikut Daerah Negeri Kelantan 2008 hingga 2010, yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.
Mengikut laporan berkenaan, air di Kelantan didapati mengandungi logam berat serta E-coli dan lebih membimbangkan, bakteria itu juga ditemui dalam sampel air yang dibekalkan ke rumah oleh AKSB.

Sepanjang tahun lalu, 11 kes pencemaran E-coli membabitkan air AKSB direkodkan kementerian di Tanah Merah; lapan kes (Jeli) dan masing-masing tujuh kes di Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Kehadiran bakteria ini dalam sumber air mentah dikatakan berpunca daripada ketiadaan sistem tangki septik sistematik di negeri ini. Kebanyakan rakyat negeri ini menggali perigi pada jarak 50 meter dari tangki septik, menyebabkan berlaku serapan bakteria E-coli ke bekalan air.

SUMBER : BERITA HARIAN


1 comment:

Elih Japahar said...

Selesaikan masalah ini secepat mgkin, jgn biarkan ramai lg menjadi mangsa..

Harap kerajaan ambil tindakan secepatnya..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...