Fauziah Ahmad Daud Akan Saman Johan Raja Lawak Kerana Kurang Ajar | HIPOTESIS CREW

Search This Blog

Tuesday, 29 November 2011

Fauziah Ahmad Daud Akan Saman Johan Raja Lawak Kerana Kurang Ajar

Malam Gemilang Tersebut
INI bukan cerita rumah sudah siap, tetapi pahat masih berbunyi. Tidak!Ini cerita bagaimana terlukanya seorang primadona tanah air terhadap seorang junior dalam industri hiburan. Dia tidak tahu bagaimana cara untuk menghormati orang yang lebih dewasa.


Episod ini berlaku semasa Festival Filem Malaysia (FFM) ke-24 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) lalu.

Idea pihak Astro menggabungkan Fauziah Ahmad Daud, 49, dengan Johan Raja Lawak sebagai hos mungkin dianggap boleh memberikan kelainan.

Iyalah, gandingan baru dan lama siapa yang tak mahu lihat, pentas boleh jadi riuh rendah dibuatnya.
Namun, siapa sangka sebenarnya berlaku konflik senyap yang mungkin tidak disedari oleh kebanyakan penonton.

Kekecewaan diluahkan oleh Fauziah atau Ogy ini mengenai sikap Johan terhadapnya sepanjang mengemudi majlis yang disaksikan hampir satu juta penonton itu.

Dakwa Ogy, Johan telah mengaibkannya di hadapan para penonton termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan jenaka tidak relevan sepanjang majlis berlangsung.

“Hampir satu juta penonton dapat saksikan bagaimana Johan memperlekehkan, mengaibkan dan mempersendakan saya di pentas FFM. Ini bukan gelanggang Raja Lawak. Di depan tetamu kenamaanteri pula tu.

“Dia memang kurang ajar. Bukan setakat bakat saya, malah arwah ibu dan bapa saya turut dipersenda sesuka hati. Namun yang paling saya terkilan, dia boleh mempersendakan Tahun Gajah, tahun kelahiran Nabi Muhammad junjungan kita.

“Ini satu penghinaan dan saya tak boleh bertoleransi dengan orang yang biadap seperti itu,” katanya.
Menurut Ogy, sepanjang majlis, dia hanya mampu beristighfar di dalam hati walau sedih dengan sikap Johan yang dianggap keterlaluan.

Bagi Ogy, dia harus bersikap profesional kerana mahu tidak mahu, majlis perlu diteruskan dengan baik.
“Saya tak tahu kalau ada yang perasan atau tidak, tetapi sepanjang berada di pentas, saya hanya menahan rasa kecewa dengan kerenah Johan yang kurang ajar.

“Sebagai manusia, bohonglah kalau saya tak terasa bila orang memperkotak-katikkan arwah ibu dan bapa, mengutuk saya ni dah tua dan sebagainya.

“Jangan kerana saya ni anak yatim dan tidak bersuami maka orang boleh memperlekehkan saya.

“Saya tahu saya ni dah berusia, tetapi saya tidak perlukan orang untuk menyedarkan saya mengenainya.
“Hanya Allah S.W.T sahaja yang tahu perasaan saya ketika dimalukan sebegitu sekali,” kesalnya.
Mana IQ?

Bercerita lanjut, menurut Ogy, dia juga kesal kerana sebagai seorang yang berpengalaman dalam industri terutama dalam bidang pengacaraan, dia melihat ramai ‘budak baru’ tidak pandai menghormati golongan senior.

Kata Ogy, ini bukan soal sensitiviti hanya kerana dia merupakan seorang wanita yang berusia.

Tetapi sudah banyak contoh di depan mata yang menyaksikan bagaimana pendatang baru dalam industri tidak bijak menyampaikan jenaka.

Malah, kata Ogy, ada yang tidak faham antara lawak bodoh dengan lawak yang punya IQ.

“Buat lawak tak perlu menghina orang. Lawak yang punya IQ dan isi, yang tak menghina atau mengutuk orang pun akan jadi satu jenaka yang boleh menghiburkan penonton.

“Lihat contoh, Harith Iskandar atau Afdlin Shauki. Mereka tak ada pun nak hina-hina orang untuk membuatkan orang ketawa. Mengapa Johan perlu buat begitu?

“Mengenakan saya di pentas dan menggunakan perkataan yang tidak sesuai, apa dia ingat saya ni adik diakah?” katanya.

Menurut pengarah dan penerbit ini lagi, kebanyakan jenaka yang dibuat oleh Johan juga tidak berlandaskan skrip yang disediakan oleh pihak Astro.

“Saya tahu dia berbakat untuk buat lawak tetapi cara dia melampau. Sudahlah masa latihan sebelum majlis berlangsung dia datang lewat.

“Kami diminta datang pukul 3 petang, dia sampai pukul 6 petang. Macam mana tu? Tiga jam saya menunggu, tetapi dia langsung tidak minta maaf pada saya.

“Pembantu peribadi dia yang malu dan berkali-kali minta maaf dari saya. Mana budi bahasa? Tetapi saya sedikit pun tidak bising pada dia. Kalau dia nak jawab, jawablah pada Astro, ” katanya.

Menyifatkan isu ini sebagai sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh, kata Ogy, dia nekad untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Johan.

Menurut Ogy, biar sekalipun Johan tampil memohon maaf ke atas dirinya selepas ini, namun dia tetap akan berkeras untuk menyaman pelawak tersebut.

“Saya berpegang pada hak asasi manusia. Tidak kira siapa pun, kalau mereka telah memperlekehkan maruah diri dan ibu bapa saya, saya tidak akan bertolak-ansur.

“Biar dia datang minta maaf sekali pun, saya tidak akan layan. Sebab seseorang harus bangkit memberi pengajaran kepada budak baru seperti dia yang tak tahu apa makna menghormati.

“Bukan saya datang cari Astro untuk minta jadi pengacara malam itu, tetapi Astro yang datang cari perempuan buruk ini untuk menjayakan majlis.

“Tapi saya datang bukan untuk diperlekeh-lekeh begitu,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Ogy, dia dan peguamnya kini sedang menguruskan proses lanjut untuk membawa kes berkenaan ke mahkamah.

“Saya akan bangkit mewakili mana-mana artis senior yang rasa diri mereka diperlekehkan orang baru.
“Jangan main-main dengan Fauziah Ahmad Daud. Saya tidak akan lepaskan budak ini!” katanya lagi dalam nada cukup tegas.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...